Tuesday, 26 July 2011

Kerana Sebuah Basikal


Pagi Isnin aku sampai disekolah macam biasa, ada murid yang dah sampai, ada yang belum sampai lagi. Masa tu, ada sorang murid perempuan baru sampai. Tapi yang peliknya, dia tak nak masuk ke sekolah, asyik menangis dekat mak dia. Aku buat biasa je. Mungkin sebab cuti hujung minggu, maka susahlah nak "menukar jadual" waktu semula.

Lama menunggu, puas mak dia pujuk.....murid ni tak menangis tak berhenti-henti juga. Terpaksalah, aku dengan sorang lagi cikgu menggunakan kudrat untuk menarik dia masuk ke dalam kelas. Kuat betul dia tarik baju mak dia. Hampir terkoyak ku rasa.

Bermulalah edisi pujuk memujuk. Baru ku tahu, rupa-rupanya, dia malu hendak datang ke kelas di sebabkan mak dia menghantar ke sekolah pada pagi ni dengan basikal!! Sebelum ni mak dia hantar dia ke sekolah dengan motorsikal. Terkejut aku. Aku ingatkan dia beria-ia menangis tadi kerana kerja rumah yang di beri tak siap.

Budak-budak zaman sekarang, baru umur enam tahun......sudah punya rasa malu. Rasa malu yang ku kira tak bertempat! Sempat ku ceritakan akan keseronokan berbasikal ke sekolah. Sayangnya kanak-kanak hari ini tak sempat kot merasa pengalaman berbasikal ke sekolah. 

Pada usiaku sebayanya, aku ke tadika berjalan kaki saja dengan di temani oleh ayah dan adik ku, Afiq. Malah, pada masa sekolah rendah, aku pernah meminta pada ayah untuk berbasikal ke sekolah tapi permintaaku ditolak atas alasan bahaya. Ni kerana bila berbasikal ke sekolah, aku mesti melalui jambatan yang sibuk dengan lori, bas, kereta. Aku hanya berjalan kaki saja dengan melalui jambatan gantung. Pada ayah itu lebih selamat.

Mungkin budak perempuan tadi, tak pernah berbasikal pada waktu petang. Sayangnya! Mereka terlepas waktu riang zaman mereka. Kalau di beri pilihan sekarang, aku masih mahu mengulang semula aktiviti berbasikal dulu. Pernah dulu, aku dan suami sanggup menyewa basikal di Bukit Cahaya, Shah Alam semata-mata untuk melepaskan gian berbasikal. Hilang segala rusuh di jiwa, kekalutan di kepala.

No comments:

Post a Comment